Dilarang Berkongsi Pergolakan Rumahtangga Di Media Sosial. | CERPEN VIRALL : Kisah pergolakan rumahtangga semakin mengungguli carian paling popular di internet terutama media sosial. Malah, bukan hanya konflik rumahtangga selebriti, kisah masyarakat umum turut mendapat perhatian.
Ada memuat naik status mengenai kecurangan pasangan, membuat ‘live’ di platform media sosial untuk meluahkan perasaaan, malah ada memuat naik bukti kesalahan suami atau isteri dengan alasan ia jalan terakhir untuk menyelamatkan perkahwinan.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yuhaniz Mohd Yusop, berkata terdapat garis panduan dalam Islam untuk menyelesaikan sesuatu konflik termasuk berkaitan rumahtangga. Layari website nalurikini.com untuk membaca tentang kisah-kisah idola.
“Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Islam sangat halus dalam menangani sebarang permasalahan timbul. Apabila berbicara berkaitan Islam, ia melangkaui zaman dan masa.
“Dewasa ini, walaupun kita berada pada era media sosial yang sangat mencabar dan ada anggapan bahawa boleh untuk kita bercerita apa sahaja, Islam tidak sedemikian,” katanya.
TETAP DILARANG
Yuhaniz berkata, apapun alasan untuk mempertahankan tindakan berkongsi masalah rumah tangga di media sosial, ia tetap dilarang.
“Islam bersifat shaddu zara’i, iaitu menutup segala pintu kerosakan dan kemudaratan. Walaupun perkongsian dikatakan tidak bermaksud membuka aib, (hakikatnya) aib akan terbuka juga,” katanya.
Tegasnya, jika pasangan culas beri nafkah, main kayu tiga, masalah ipar duai atau apa masalah sekalipun usahlah dikongsi dalam media sosial.
“Jika masalah itu kecil, ia akan menjadi besar. Andai masalah itu tidak diketahui orang, ia akan tersebar. Masalah itu boleh diselesaikan dengan baik, ia akan menjadi rumit.
“Jika masalah itu benar, ia akan menjadi umpatan. Jika masalah itu tidak benar, maka ia akan menjadi fitnah. Inilah bahayanya jika kita berkongsi masalah kita di media sosial. Malah secara tidak sedar, kita membuka aib dan kelemahan diri sendiri,” katanya.
Merungkai matlamat Islam menjaga hal sebegini, jelasnya ia bagi menjaga aib sesama manusia. Selain memastikan sesuatu masalah itu dapat diselesaikan secara harmoni, saling menghormati dan tidak menyebabkan tercetusnya permusuhan.
Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah SWT akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)
SELAGI TIDAK AIB
Ditanya sama ada Islam membenarkan perkongsian kisah rumahtangga untuk diambil pengajaran dan pelajaran, Yuhaniz berkata, ia dibenarkan selagi tidak mengaibkan dan memudaratkan sesiapa.
Katanya, terdapat banyak kisah rumahtangga baik dan bagus untuk dijadikan motivasi kepada orang lain.
“Kisah hebat ini adalah salah satu terapi buat kita untuk perbaiki diri. Kisah berunsur malang, kekecewaan, kesakitan, penderitaan dan trauma juga membuatkan kita sentiasa waspada serta berhati-hati dalam menjalani kehidupan.
“Bercerita dan berkongsi kisah rumahtangga ada kaedahnya. Jika kisah baik dan pasangan berkenaan tidak ada masalah untuk berkongsi dengan orang lain, maka buatlah dengan cara baik.
“Jika kisah tidak baik dan apatah lagi pasangan akan rasa diaibkan jika perkongsian kisah mereka dikongsikan, maka rahsiakanlah pemilik kisah itu. Hanya perkongsian kisah sahaja yang dilakukan untuk sama-sama kita mendapat ibrahnya,” katanya.
BERKONGSI MASALAH
Yuhaniz berkata, tiada halangan dalam Islam untuk mengadu dan berkongsi masalah rumahtangga namun hanya kepada orang yang layak sahaja.
Imam al-Ghazali menegaskan setiap masalah dihadapi pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh dikongsikan kepada orang yang berautoriti atau layak bagi membantu dalam membuat keputusan dan tindakan selanjutnya.
Dalam hal ini, katanya, setiap pasangan wajar mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor, pegawai khidmat nasihat dan peguam.
Sekiranya ingin berkongsi dengan orang sekeliling, seperti kawan rapat atau adik beradik, katanya, pastikan individu itu boleh menjadi pendamai.
Sayidatina Fatimah puteri Rasulullah SAW juga pernah menceritakan masalah rumahtangga beliau kepada Baginda. Sahl Ibnu Sa’d RA meriwayatkan Rasulullah SAW mendatangi rumah Fatimah dan Baginda tidak melihat Ali RA di rumah. Lalu Baginda bertanya: “Di mana suamimu?” Jawab Fatimah: “Tadi ada masalah denganku, dia terus marah kepadaku, lalu keluar. Siang ini dia tidak tidur di sampingku.” Layari website nalurikini.com untuk membaca tentang kisah-kisah idola.
Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat mengenai keberadaan Ali. “Wahai Rasulullah, dia di masjid, sedang tidur.” Datanglah Rasulullah SAW ke masjid dan ketika itu Ali sedang tidur, sementara baju atasannya jatuh di sampingnya dan terkena debu. Lalu Rasulullah SAW mengusap debu itu, sambil mengatakan, “Bangun, wahai Abu Thurab… bangun, wahai Abu Thurab.” (HR Bukhari dan Muslim)